Thursday, December 25, 2008

Kahwin bukan untuk bermegah


Matlamat suci perkahwinan tidak boleh dirosakkan dengan penganjuran majlis secara besar-besaran untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
- Gambar hiasan


PERKAHWINAN merupakan satu ikatan suci penyatuan jiwa lelaki dan perempuan. Dalam Islam perkahwinan itu bermaksud akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak hak-hak dan tanggungjawab. Perkahwinan itu sendiri merupakan saluran untuk meneruskan keturunan manusia di muka bumi. Sudah menjadi fitrah manusia yang dijadikan berpasang-pasangan.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa'ayat 1 yang bermaksud: Wahai manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan. (An-Nisa':1)

Manakala majlis kenduri sesebuah perkahwinan itu bertujuan memberitahu dan membuat pengumuman kepada masyarakat tentang hubungan sebuah perkahwinan yang sah lagi suci serta bagi mengelakkan fitnah dalam masyarakat. Namun begitu sejak akhir-akhir ini 'trend' majlis perkahwinan dan kenduri kahwin telah bertukar menjadi nilai komersial yang boleh mengaut 'keuntungan'.

Walaupun 'trend' sebegini hanya berlaku di kalangan golongan tertentu namun falsafah dan maksud sebenar sebuah perkahwinan perlu dihayati dan diterjemahkan sebelum ia menjadi budaya dan sebati dalam hidup masyarakat. Apa yang lebih membimbangkan sekiranya budaya itu menjadi ikutan mereka yang tidak mampu demi menjaga imej.

Adalah dikhuatiri mereka akan bergolok bergadai dan yang lebih merisaukan sekiranya ada yang sanggup bersahabat dengan 'ah long' untuk memenuhi keinginan naluri yang bukannya dituntut syarak.

Bagi mereka yang berkemampuan, angka-angka yang tinggi dan unik menjadi sandaran sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan. Semakin tinggi 'angka-angka' hantaran maka semakin 'glamor' dan semakin menjadi tumpuan pasangan tersebut.

Begitu juga semakin 'unik' angka-angka tersebut maka semakin dikenali pasangan dan semakin komersial perkahwinan tersebut.

Bagi yang kurang berkemampuan pula, keunikan itu dicipta dalam bentuk yang tidak melibatkan nilai kewangan, misalnya bersanding beramai-ramai, berarak dengan kereta kuda, anak dan bapa bersanding bersama dan sebagainya. Walaupun kita percaya jauh di sudut hati mereka tidak ada niat untuk menunjuk-nunjuk tetapi apabila berita tersebut digembar-gemburkan maka ia akan menjadi tumpuan.

Sekiranya maksud sebenar tidak terpesong, kenduri secara besar-besaran dibolehkan sekiranya mampu dan tidak berniat untuk bermegah-megah seperti yang ditegaskan oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot baru-baru ini.

Suatu ketika dulu di kampung-kampung apabila adanya majlis perkahwinan, maka seluruh warga akan bergotong royong, kaum wanita akan sibuk di dapur memotong bawang, menyediakan ramuan untuk memasak, memotong ayam dan daging, menyiapkan tempat persandingan manakala kaum lelaki pula sibuk menyediakan khemah yang diperbuat daripada buluh dan batang pinang.

Tetamu yang hadir pula tidak memberi wang ringgit sebaliknya mereka akan membawa, gula, susu, beras , biskut 'marie', kuih baulu mengikut kemampuan masing-masing. Bagi mereka yang tidak berkemampuan tuan rumah akan menghulurkan juadah untuk dibawa pulang sebagai hidangan mereka sekeluarga.

Begitu juga untuk penduduk kampung yang bertungkus lumus membantu, hidangan dan juadah tetap tidak dilupakan dengan diiringi sehelai kain pelikat bagi kaum lelaki dan kain sarung bagi wanita sebagai tanda terima kasih.

Namun nilai dan tradisi itu semakin berkurangan walaupun ada di sesetengah kawasan masih mengekalkan semangat bergotong royong tetapi kebanyakannya diserahkan kepada pihak 'catering' untuk menguruskannya.

Apabila itu berlaku maka pihak tuan rumah akan berkira-kira kos per kepala maka natijahnya bertukarlah majlis kesyukuran menjadi 'undangan' majlis perkahwinan.

Ada sesetengah penduduk atau orang ramai yang tidak sanggup untuk hadir ke sesebuah majlis kenduri perkahwinan dek kerana tradisi sudah bertukar, salam bersalam itu tidak sah kalau tidak dilapik dengan wang ringgit sekurang-kurangnya sepuluh ringgit.

Terdapat juga yang mengeluh terutamanya pada musim cuti sekolah kerana menerima undangan sekurang-kurangnya lima hingga lapan kenduri. Cuba bayangkan kalau satu kenduri RM10 kalau lima kenduri sudah menjadi RM50, bagi mereka yang tidak mampu ia akan memberi sedikit bebanan dan tekanan.

Walaupun terdapat juga di kalangan masyarakat yang mengadakan majlis kesyukuran, namun mereka yang menerima undangan tidak akan bertandang dengan tangan kosong sebaliknya tangan-tangan diiringi dengan cenderahati sebagai hadiah perkahwinan kerana ia sudah menjadi budaya masa kini.

Itulah hakikat yang patut kita terima yang mana generasi muda hanya boleh menghayatinya dalam lipatan sejarah budaya masyarakat Melayu dahulu kala dalam mengadakan majlis perkahwinan.

Nilai-nilai tradisi sudah agak tersasar dalam sesetengah masyarakat. Majlis perkahwinan yang sepatutnya sebagai makluman untuk masyarakat bagi mengelakkan fitnah dan sebagai alat penghubung silaturrahim antara penduduk kampung sudah terhakis nilainya dan menjadi agak komersial.

Namun begitu kita tidak boleh menyalahkan tuan rumah semata-mata kerana kos untuk mengadakan sesebuah perkahwinan dan majlis kenduri sudah meningkat.

Walaupun mereka tidak 'meminta' dan 'memaksa' tetapi sumbangan daripada mereka yang datang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos mengadakan majlis tersebut. Meskipun ada segelintir masyarakat yang berkira-kira tentang 'keuntungan' tatkala ingin mengadakan majlis perkahwinan sebaliknya jika majlis kenduri perkahwinan itu diadakan majlis kesyukuran adalah lebih baik.

Ini kerana matlamat asal majlis kenduri itu adalah untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT dan juga untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada saudara mara, penduduk kampung yang membantu dan tetamu yang hadir yang mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan pasangan yang melangsungkan perkahwinan.

Kepada mereka yang berkemampuan, dalam kemeriahan meraikan perkahwinan janganlah terlalu mengkomersialkan majlis perkahwinan dan jangan lupa untuk berkongsi kemeriahan dengan mereka yang tidak pernah menjamah 'nasi minyak'.

Bagi mereka yang kurang berkemampuan pula berpada-pada dengan kemampuan yang ada agar tidak menanggung bebanan hutang selepas perkahwinan, jangan sampai pahala yang dicari bertukar menjadi bala yang menanti.

Dalam memilih pasangan Rasulullah SAW dengan jelas melarang kecantikan dan kekayaan menjadi ukuran utama di dalam memilih isteri, tetapi hendaklah memilih seseorang yang berpegang teguh kepada agamanya. Sabda baginda yang bermaksud: Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah perempuan kerana agamanya. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah).

Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, saling mengingatkan antara satu sama lain agar ikatan perkahwinan yang suci tidak bertukar menjadi satu pertelagahan dan terlalu komersial. Perkahwinan itu tidak boleh menjadi terlalu sensasi sehingga terlupa nilai-nilai dan falsafah sebenar sebuah perkahwinan.

Namun begitu jika kita berkemampuan tidak ada salahnya jika mengadakan kenduri secara besar-besaran asalkan tidak bermegah-megah dan penuh sensasi. Sebaliknya bersederhana itu adalah lebih baik dan dalam menghadapi krisis ekonomi dunia kita digalakkan untuk berjimat cermat tanpa melakukan pembaziran.

Konsep sederhana tetapi meriah yang sebenar-benarnya perlu dipraktikkan agar kita selalu bersederhana dalam semua perkara.

Sedikit pesanan kepada semua yang mengadakan majlis kenduri kahwin agar mencatat dan menghitung semua tetamu yang hadir kerana mereka datang untuk mendoakan kebahagiaan anda. Anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila suatu hari nanti anda berfikir untuk bercerai kerana mensia-siakan doa mereka.

Bagaimanapun kepada mereka yang akan, sedang dan telah melangsungkan perkahwinan pada musim cuti sekolah ini, tahniah dan selamat pengantin baru diucapkan. Semoga perkahwinan dirahmati dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

4 comments:

CaBaiKeRinG said...

memang betoi!

setuju sangat!

di waktu yang sama... saya jeles jugak tengok majlis yang hebat hebat ini!

kuIna said...

jgn cemburu... doakn kebahagian mereka sehebat majlis mereka.

Iliana said...

ye la, skrg ni semua org kejar glamor..tapi akhirnya entah kemana..minta dijauhkan..

kalau benar-benar berkemampuan, takpe. tapi jangan sampai buat 'loan' semata-mata untuk kahwin

apisz said...

setuju! lg setuju kalu mas kawen/ hantaran, murah2...hehe..

mahal sgt, susah....

(^_^)