Monday, July 7, 2008

BAHAGIA YANG BERSINAR

“Sedamai taman firdausi,

Limpahan kasih sayang sejati,

Seharum semerbak kasturi,

Mewarnai hidup insani.

Indahnya damainya keluarga yang bahagia,

Itulah idaman impian setiap insan,

Yang dahagakan belaian,

Serta kasih dan sayang”.


Begitulah terucap dalam lagu, terluah oleh bibir mendayu perihal sebuah keluarga bahagia. Tiada insan yang lahir ke muka bumi ini mendambakan hidup yang sengsara, sukar dan sunyi bersendirian tanpa kasih sayang dan kebahagiaan. Allah s.w.t telah menciptakan manusia bersama-sama dengan fitrah kasih sayang yang tulus suci dan sejati. Ianya adalah untuk dikongsikan bersama insan-insan lain yang berada di sekeliling kita. Alangkah tenangnya jika dikasihi, disayangi, mengasihi dan menyayangi. Terasa diri dihargai serta mendapat perlindungan pastinya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang diriwayatkan oleh At Tarmizi yang bermaksud ;

”Bukanlah dari golongan kami mereka yang tidak mengasihi golongan yang muda antara kami dan tidak menghormati golongan yang tua di antara kami”.

Jelas terpatri bahawa manusia dan kasih sayang tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu, umpama roh dan jasad. Pastinya, bagi seorang anak, ibu bapa dan keluarga adalah tempat bermanja, tempat berkongsi tawa ria dan tangis duka. Bagi seorang suami, isteri adalah permaisuri hati yang menerangi hidupnya. Bagi seorang isteri pula, suami adalah arjuna hatinya yang perkasa untuk disandarkan sebuah impian. Kebahagiaan ini terpancar indah dan tersibak harum ke seluruh alam lantas melahirkan kasih sayang buat sanak-saudara, jiran tetangga, para sahabat mahupun kepada seluruh ummah dan insan di muka bumi ini. Betapa terkesannya jiwa yang lahir daripada keutuhan sebuah institusi keluarga sehingga mampu memberikan kedamaian buat seluruh semesta. Sudah pasti ia lahir oleh Rahmat Allah yang Maha Luas kepada hambaNya.

Namun, adakah rasa bahagia itu suatu realiti? Mengapa kasih sayang itu semakin sirna? Anak-anak tidak lagi rasa bahagia berada di rumah sendiri. Suami dan isteri pula sering berselisih faham, masyarakat juga mengamalkan sikap tidak menjaga tepi kain orang, manakala situasi sekolah pula begitu stereotaip menghabiskan silibus mata pelajaran. Lalu, di manakah letaknya keseronokan hidup ini?


“Ketika insan lain berbahagia bersama keluarga,

Namun kita, masih meniti titian rapuh perhubungan,

Mengapa kita terpisah daripada RahmatNya,

Mungkinkah kita seringkali melupakannya,

Ayuhlah bina semula, keluarga di redhai Allah.”


Jawapan yang paling tepat untuk pelbagai kes seperti penceraian, jenayah, masalah sosial, kezaliman dan tekanan yang melanda kehidupan pada hari ini ialah kealpaan manusia terhadap Pencipta Yang Maha Agung. Selama mana kita jauh daripada kasih sayang Allah, segala kekacauan dan simpulan masalah ini tidak akan terlerai. Tidak mungkin ada kuasa lain yang mampu mengatasi kuasa Allah Yang Maha Besar.


Manusia tidak berkuasa menentukan apa jua perkara sebaliknya kita hanya mampu merancang. Namun, kita dikurniakan akal yang waras dan kudrat yang sempurna untuk berfikir dan bertindak. Bersama-sama dua komponen ini juga wujud perasaan atau emosi yang menggambarkan tindakbalas manusia terhadap persekitaran. Sekiranya fitrah manusia tidak dicemari nafsu dan hasutan syaitan, sudah pasti kasih sayang bertakhta di sanubari setiap insan. Namun, apakan daya bagi mereka yang tewas dalam pertarungan melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan.


Masakan kita tidak gusar dan bimbang akan kadar penceraian yang mencapai angka 13,465 orang pada tahun 2005, 32808 orang penagih dadah pada tahun 2005, 108 kes penderaan kanak-kanak dan 1561 kes rogol setakat Jun 2006 lalu, 1.... kes buang bayi pada tahun 2006 serta 7201 kes kesalahan juvana pada tahun 2005. Kes-kes seperti pelacuran, seks luar nikah, pengguguran anak, rempit, melepak dan minum arak juga tidak kurang hebatnya pada masa kini. Di kalangan remaja ini amat jelas bahawa sifat malu umpama sudah tidak ada lagi dalam diri. Sedangkan di dalam agama islam sendiri, malu itu sebahagian daripada iman.


Di manakah silapnya kita? Tepuk dada tanya hati kecil kita sendiri. Bagi ibubapa, cukupkah ilmu agama yang diajarkan kepada anak-anak, kukuhkah kasih sayang yang dicurahkan kepada ahli keluarga, halalkah sumber dan zat rezeki yang diberikan serta bagaimanakah keadaan diri anda sebagai pemimpin kepada ahli keluarga?

“Oh ayah, oh ibu,

Dengarlah rintihan dan luahan hatiku

Yang dahagakan kasih

Jiwaku merasa tersiksa ketandusan kasihmu,

Marilah kita bina bersama-sama keluarga bahagia”.


Menyalahkan pelbagai pihak sememangnya mudah. Menunding jari ke pelbagai arah juga telah menjadi tradisi amarah. Namun, selesaikah masalah dengan tindakan sebegitu? Pepatah ada mengatakan “guru pertama adalah ibu bapa”, “bapa borek anak rintik” serta hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “anak yang dilahirkan itu putih, suci dan bersih, ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadi majusi, yahudi dan nasrani”. Lihatlah, segalanya bermula dari sebuah rumah, melalui didikan, asuhan dan bimbingan ibu bapa. Kasih sayang, perhatian dan ketegasan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mampu melahirkan anak yang mempunyai jatidiri unggul lantas berupaya menepis mehnah yang datang daripada persekitran.


Tidak dapat dinafikan lagi, keutuhan institusi kekeluargaan menjadi faktor utama kepada kestabilan sosial sesebuah masyarakat dan negara. Sebuah keluarga yang bahagia mampu melahirkan generasi yang sejahtera dari pelbagai sudut merangkumi aspek fizikal, mental, emosi, rohani serta sosial. Insan yang seimbang ini merupakan modal insan yang berupaya memberikan sumbangan kepada bangsa, agama dan negara. Maka, terbentuklah modal sosial dalam sesebuah masyarakat, institusi mahupun organisasi sekaligus dapat melonjakkan imej negara ke persada terbilang.

Namun, segalanya tidak bermakna seandainya konsep kasih sayang dan didikan yang sempurna tidak diharmonikan dalam sesebuah keluarga. Justeru, ibu bapa usahlah terlalu bersikap terbuka membiarkan pengaruh negatif globalisasi menguasi anak-anak mahupun menyekat terus kebebasan anak-anak sehingga tiada langsung keterbukaan dalam keluarga. Justeru, amat bersesuaian sekali ungkapan kata-kata hikmah oleh Dr H.M Tuah Iskandar iaitu “Rasa kasih, sayang dan cinta bukan satu perjudian untuk menentukan menang atau kalah tapi ia adalah ikatan hati yang menentukan nilai satu perhubungan, kesetiaan dan ketulusan”.

Justeru, kepada ibu bapa, beringatlah kerana anak-anak itu adalah amanah Allah kepada kalian. Bagi para suami pula mengertilah bahawa isterimu juga amanah untukmu. Jadikan setiap hari yang anda lalui umpama meniti jambatan kasih yang dihiasi cinta dan kemesraan. Hiduplah seperti mentari yang bersinar menerangi maya bukannya umpama duri yang mencucuk diri dan menyakiti orang lain. Dalam apa jua keadaan letakkan panggilan dan seruan Illahi itu pada tempat yang paling utama. Jadilah hambaNya yang bersyukur. Itulah sekukuh-kukuh pergantungan.


Menurut Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud, “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”


Demi survival bangsa dan agama, suburkanlah nilai-nilai murni dalam diri anak-anak kita dan jadilah contoh tauladan terbaik buat mereka. Didik dan bimbing mereka mendaki ke puncak syahadah, menjadi insan yang berbakti dan berjasa kepada masyarakat kerana kelak akhir hidup kita akan beroleh ketenangan, pergi menghadap Illahi dalam husnul Khatimah. Sesungguhnya, mati itu benar, sakaratul maut itu benar, syurga dan neraka juga benar, balasan terhadap dosa dan pahala juga benar. Janganlah menjadi insan yang lupa diri dan terlalu takbur dengan nimat milik Allah. Daripada Nya kita datang, kepada Nya jua kita kembali.


Hidup ini terlalu singkat. Usah dihabiskan dengan sengsara dan kesusahan. Isilah dengan SAKINAH, MAWADDAH dan RAHMAH. Tanpa kerjasama semua pihak, tidak mungkin lahir generasi berwawasan dan bertakwa yang mampu mendukung visi bangsa, agama dan negara. Marilah bersama-sama kita bersatu membina ummah terbilang melalui pengukuhan institusi kekeluargaan. Semoga kita akan terus meneguk kemanisan hidup biarpun jutaan mehnah yang melanda kerana kita berpegang pada taliNya.


“Bahagia itu dari dalam diri, terpendam bagai permata di dasar hati,

Bahagia itu ada pada hati, terpendam bagai mutiara di lautan nurani,

Bahagia itu ada di jjwa, mahkota di singgahsana rasa,

Bahagia itu adalah ketenangan.”

Sesungguhnya bahagia itu semakin hampir andai kita semakin dekat dengan Pencipta. Semoga kebahagiaan yang terpancar daripada ibu bapa akan membiaskan sinar bahagia buat seisi keluarga, lantas menjana masyarakat yang sejahtera dan negara yang terbilang dan berdaya upaya. Salam kebahagiaan buat semua!

sumber : Yayasan pembangunan Keluarga Darul Ta'zim

No comments: