Thursday, December 25, 2008

Kahwin bukan untuk bermegah


Matlamat suci perkahwinan tidak boleh dirosakkan dengan penganjuran majlis secara besar-besaran untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
- Gambar hiasan


PERKAHWINAN merupakan satu ikatan suci penyatuan jiwa lelaki dan perempuan. Dalam Islam perkahwinan itu bermaksud akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak hak-hak dan tanggungjawab. Perkahwinan itu sendiri merupakan saluran untuk meneruskan keturunan manusia di muka bumi. Sudah menjadi fitrah manusia yang dijadikan berpasang-pasangan.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa'ayat 1 yang bermaksud: Wahai manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan. (An-Nisa':1)

Manakala majlis kenduri sesebuah perkahwinan itu bertujuan memberitahu dan membuat pengumuman kepada masyarakat tentang hubungan sebuah perkahwinan yang sah lagi suci serta bagi mengelakkan fitnah dalam masyarakat. Namun begitu sejak akhir-akhir ini 'trend' majlis perkahwinan dan kenduri kahwin telah bertukar menjadi nilai komersial yang boleh mengaut 'keuntungan'.

Walaupun 'trend' sebegini hanya berlaku di kalangan golongan tertentu namun falsafah dan maksud sebenar sebuah perkahwinan perlu dihayati dan diterjemahkan sebelum ia menjadi budaya dan sebati dalam hidup masyarakat. Apa yang lebih membimbangkan sekiranya budaya itu menjadi ikutan mereka yang tidak mampu demi menjaga imej.

Adalah dikhuatiri mereka akan bergolok bergadai dan yang lebih merisaukan sekiranya ada yang sanggup bersahabat dengan 'ah long' untuk memenuhi keinginan naluri yang bukannya dituntut syarak.

Bagi mereka yang berkemampuan, angka-angka yang tinggi dan unik menjadi sandaran sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan. Semakin tinggi 'angka-angka' hantaran maka semakin 'glamor' dan semakin menjadi tumpuan pasangan tersebut.

Begitu juga semakin 'unik' angka-angka tersebut maka semakin dikenali pasangan dan semakin komersial perkahwinan tersebut.

Bagi yang kurang berkemampuan pula, keunikan itu dicipta dalam bentuk yang tidak melibatkan nilai kewangan, misalnya bersanding beramai-ramai, berarak dengan kereta kuda, anak dan bapa bersanding bersama dan sebagainya. Walaupun kita percaya jauh di sudut hati mereka tidak ada niat untuk menunjuk-nunjuk tetapi apabila berita tersebut digembar-gemburkan maka ia akan menjadi tumpuan.

Sekiranya maksud sebenar tidak terpesong, kenduri secara besar-besaran dibolehkan sekiranya mampu dan tidak berniat untuk bermegah-megah seperti yang ditegaskan oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot baru-baru ini.

Suatu ketika dulu di kampung-kampung apabila adanya majlis perkahwinan, maka seluruh warga akan bergotong royong, kaum wanita akan sibuk di dapur memotong bawang, menyediakan ramuan untuk memasak, memotong ayam dan daging, menyiapkan tempat persandingan manakala kaum lelaki pula sibuk menyediakan khemah yang diperbuat daripada buluh dan batang pinang.

Tetamu yang hadir pula tidak memberi wang ringgit sebaliknya mereka akan membawa, gula, susu, beras , biskut 'marie', kuih baulu mengikut kemampuan masing-masing. Bagi mereka yang tidak berkemampuan tuan rumah akan menghulurkan juadah untuk dibawa pulang sebagai hidangan mereka sekeluarga.

Begitu juga untuk penduduk kampung yang bertungkus lumus membantu, hidangan dan juadah tetap tidak dilupakan dengan diiringi sehelai kain pelikat bagi kaum lelaki dan kain sarung bagi wanita sebagai tanda terima kasih.

Namun nilai dan tradisi itu semakin berkurangan walaupun ada di sesetengah kawasan masih mengekalkan semangat bergotong royong tetapi kebanyakannya diserahkan kepada pihak 'catering' untuk menguruskannya.

Apabila itu berlaku maka pihak tuan rumah akan berkira-kira kos per kepala maka natijahnya bertukarlah majlis kesyukuran menjadi 'undangan' majlis perkahwinan.

Ada sesetengah penduduk atau orang ramai yang tidak sanggup untuk hadir ke sesebuah majlis kenduri perkahwinan dek kerana tradisi sudah bertukar, salam bersalam itu tidak sah kalau tidak dilapik dengan wang ringgit sekurang-kurangnya sepuluh ringgit.

Terdapat juga yang mengeluh terutamanya pada musim cuti sekolah kerana menerima undangan sekurang-kurangnya lima hingga lapan kenduri. Cuba bayangkan kalau satu kenduri RM10 kalau lima kenduri sudah menjadi RM50, bagi mereka yang tidak mampu ia akan memberi sedikit bebanan dan tekanan.

Walaupun terdapat juga di kalangan masyarakat yang mengadakan majlis kesyukuran, namun mereka yang menerima undangan tidak akan bertandang dengan tangan kosong sebaliknya tangan-tangan diiringi dengan cenderahati sebagai hadiah perkahwinan kerana ia sudah menjadi budaya masa kini.

Itulah hakikat yang patut kita terima yang mana generasi muda hanya boleh menghayatinya dalam lipatan sejarah budaya masyarakat Melayu dahulu kala dalam mengadakan majlis perkahwinan.

Nilai-nilai tradisi sudah agak tersasar dalam sesetengah masyarakat. Majlis perkahwinan yang sepatutnya sebagai makluman untuk masyarakat bagi mengelakkan fitnah dan sebagai alat penghubung silaturrahim antara penduduk kampung sudah terhakis nilainya dan menjadi agak komersial.

Namun begitu kita tidak boleh menyalahkan tuan rumah semata-mata kerana kos untuk mengadakan sesebuah perkahwinan dan majlis kenduri sudah meningkat.

Walaupun mereka tidak 'meminta' dan 'memaksa' tetapi sumbangan daripada mereka yang datang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos mengadakan majlis tersebut. Meskipun ada segelintir masyarakat yang berkira-kira tentang 'keuntungan' tatkala ingin mengadakan majlis perkahwinan sebaliknya jika majlis kenduri perkahwinan itu diadakan majlis kesyukuran adalah lebih baik.

Ini kerana matlamat asal majlis kenduri itu adalah untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT dan juga untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada saudara mara, penduduk kampung yang membantu dan tetamu yang hadir yang mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan pasangan yang melangsungkan perkahwinan.

Kepada mereka yang berkemampuan, dalam kemeriahan meraikan perkahwinan janganlah terlalu mengkomersialkan majlis perkahwinan dan jangan lupa untuk berkongsi kemeriahan dengan mereka yang tidak pernah menjamah 'nasi minyak'.

Bagi mereka yang kurang berkemampuan pula berpada-pada dengan kemampuan yang ada agar tidak menanggung bebanan hutang selepas perkahwinan, jangan sampai pahala yang dicari bertukar menjadi bala yang menanti.

Dalam memilih pasangan Rasulullah SAW dengan jelas melarang kecantikan dan kekayaan menjadi ukuran utama di dalam memilih isteri, tetapi hendaklah memilih seseorang yang berpegang teguh kepada agamanya. Sabda baginda yang bermaksud: Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah perempuan kerana agamanya. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah).

Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, saling mengingatkan antara satu sama lain agar ikatan perkahwinan yang suci tidak bertukar menjadi satu pertelagahan dan terlalu komersial. Perkahwinan itu tidak boleh menjadi terlalu sensasi sehingga terlupa nilai-nilai dan falsafah sebenar sebuah perkahwinan.

Namun begitu jika kita berkemampuan tidak ada salahnya jika mengadakan kenduri secara besar-besaran asalkan tidak bermegah-megah dan penuh sensasi. Sebaliknya bersederhana itu adalah lebih baik dan dalam menghadapi krisis ekonomi dunia kita digalakkan untuk berjimat cermat tanpa melakukan pembaziran.

Konsep sederhana tetapi meriah yang sebenar-benarnya perlu dipraktikkan agar kita selalu bersederhana dalam semua perkara.

Sedikit pesanan kepada semua yang mengadakan majlis kenduri kahwin agar mencatat dan menghitung semua tetamu yang hadir kerana mereka datang untuk mendoakan kebahagiaan anda. Anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila suatu hari nanti anda berfikir untuk bercerai kerana mensia-siakan doa mereka.

Bagaimanapun kepada mereka yang akan, sedang dan telah melangsungkan perkahwinan pada musim cuti sekolah ini, tahniah dan selamat pengantin baru diucapkan. Semoga perkahwinan dirahmati dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

Thursday, December 4, 2008

Demi Masa

Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan..
Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikanTuhan.
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan jiwa
Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.

Monday, September 8, 2008

Keampunan Ilahi

Jom berlumba ke arah keampunan Ilahi dan Syurga disediakan kepada orang bertaqwa yang mempunyai ciri-ciri khas..

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
(AliImran: 133-136)

terima kasih
Dr. Omar Yaacob
UTM, Skudai.

Thursday, August 14, 2008

Renungan & Teladan.

en3 yg dipetik dr blog Surat Dalam Botol... moga menjadi pedoman utk kita semua.

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj. "Horey! Papa balik!" Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya.

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

"Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

"Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila.

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

"Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya.

Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya.

"Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?" sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut.

"Fail saya kat depan tu mana?"

"Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan."

"Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.

"Laila" Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.

"Saya nak ke out station minggu depan."

"Lama?" Soal Laila.

"Dalam seminggu."

"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?"

"Budak-budak?"

"Ikut jugalah."

"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu"

"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila.

Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

"Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana."

"Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad!

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati.

Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

"Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!"

"Manalah saya ada masa.."

"Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!"

Dia tersentak dari khayalannya.

"Kalau tak suka pulangkan balik!" Kata-kata itu bergema di fikirannya.

Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma..

"Mizi, makan!" Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu.

"Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah."

"Papa! Makan!" Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.

"Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?"

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

"Awak masak apa?"

"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!"

"Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan.

"Keluar!"

"Mama dah masak Pa!"

"Awak saja makan!"

"Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!"

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.

"Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.

"Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan."

"Abang tak suka tengok papa marah-marah.."

"Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?"

Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.

"Laila.." serunya

"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

"Sunyi pulak rumah ni mak,"

"Lama-lama kau biasalah."

Airmatanya menitis laju.

"Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum.. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka.. Kehilangan yang amat sangat.

"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.."

"Tak ada lah?"

"Ingat papa ni cop duit?"

Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.

"Awak tak sihat ke?"

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

"Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!"

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan." Ujar Laila perlahan

"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana , kecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni."

Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.

"Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.

"Abang!"

"Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk.

"Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti."

Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A.

"Laila"

"Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat.

"Wangi-wangi lagi. Dating ye?"

"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

"Ikut boleh?"

"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain.

Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.

"Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami."

"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. "

"Papa pesanlah.."

"Nantilah besar sikit." Dalihnya.

"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun."

"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,"

Laila terdiam.

"Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki."

"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik."

"Mama tanya sikit boleh?" Dia mengangguk

"Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?"

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik," ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

"Kalau tak suka pulangkan!"

Kata-kata itu semakin keras di fikirannya. Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.

"Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!"

Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah.. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..

"Kalau tak suka pulangkan,"

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak.. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan..

Friday, July 25, 2008

Petua Membersihkan Hati

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. (Diolah oleh Datuk Haji Fadilah Kamsah)

1) Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2) Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur - Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Di samping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3) Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4) Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5) Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6) Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya... ... (perkara yang elok- elok belaka)

7) Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik,berjaya, ceria, bersemangat,aktif, positif". Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya -

8) Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9) Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa)

10) Kekalkan wuduk

11) Bersedekah

12) Belanja orang makan.

13) Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat

14) Berkawan dengan ulama

15) Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16) Pesan pada orang, jadi baik

17) Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut... dsb), jangan dengar orang mengumpat.




Monday, July 7, 2008

BAHAGIA YANG BERSINAR

“Sedamai taman firdausi,

Limpahan kasih sayang sejati,

Seharum semerbak kasturi,

Mewarnai hidup insani.

Indahnya damainya keluarga yang bahagia,

Itulah idaman impian setiap insan,

Yang dahagakan belaian,

Serta kasih dan sayang”.


Begitulah terucap dalam lagu, terluah oleh bibir mendayu perihal sebuah keluarga bahagia. Tiada insan yang lahir ke muka bumi ini mendambakan hidup yang sengsara, sukar dan sunyi bersendirian tanpa kasih sayang dan kebahagiaan. Allah s.w.t telah menciptakan manusia bersama-sama dengan fitrah kasih sayang yang tulus suci dan sejati. Ianya adalah untuk dikongsikan bersama insan-insan lain yang berada di sekeliling kita. Alangkah tenangnya jika dikasihi, disayangi, mengasihi dan menyayangi. Terasa diri dihargai serta mendapat perlindungan pastinya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang diriwayatkan oleh At Tarmizi yang bermaksud ;

”Bukanlah dari golongan kami mereka yang tidak mengasihi golongan yang muda antara kami dan tidak menghormati golongan yang tua di antara kami”.

Jelas terpatri bahawa manusia dan kasih sayang tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu, umpama roh dan jasad. Pastinya, bagi seorang anak, ibu bapa dan keluarga adalah tempat bermanja, tempat berkongsi tawa ria dan tangis duka. Bagi seorang suami, isteri adalah permaisuri hati yang menerangi hidupnya. Bagi seorang isteri pula, suami adalah arjuna hatinya yang perkasa untuk disandarkan sebuah impian. Kebahagiaan ini terpancar indah dan tersibak harum ke seluruh alam lantas melahirkan kasih sayang buat sanak-saudara, jiran tetangga, para sahabat mahupun kepada seluruh ummah dan insan di muka bumi ini. Betapa terkesannya jiwa yang lahir daripada keutuhan sebuah institusi keluarga sehingga mampu memberikan kedamaian buat seluruh semesta. Sudah pasti ia lahir oleh Rahmat Allah yang Maha Luas kepada hambaNya.

Namun, adakah rasa bahagia itu suatu realiti? Mengapa kasih sayang itu semakin sirna? Anak-anak tidak lagi rasa bahagia berada di rumah sendiri. Suami dan isteri pula sering berselisih faham, masyarakat juga mengamalkan sikap tidak menjaga tepi kain orang, manakala situasi sekolah pula begitu stereotaip menghabiskan silibus mata pelajaran. Lalu, di manakah letaknya keseronokan hidup ini?


“Ketika insan lain berbahagia bersama keluarga,

Namun kita, masih meniti titian rapuh perhubungan,

Mengapa kita terpisah daripada RahmatNya,

Mungkinkah kita seringkali melupakannya,

Ayuhlah bina semula, keluarga di redhai Allah.”


Jawapan yang paling tepat untuk pelbagai kes seperti penceraian, jenayah, masalah sosial, kezaliman dan tekanan yang melanda kehidupan pada hari ini ialah kealpaan manusia terhadap Pencipta Yang Maha Agung. Selama mana kita jauh daripada kasih sayang Allah, segala kekacauan dan simpulan masalah ini tidak akan terlerai. Tidak mungkin ada kuasa lain yang mampu mengatasi kuasa Allah Yang Maha Besar.


Manusia tidak berkuasa menentukan apa jua perkara sebaliknya kita hanya mampu merancang. Namun, kita dikurniakan akal yang waras dan kudrat yang sempurna untuk berfikir dan bertindak. Bersama-sama dua komponen ini juga wujud perasaan atau emosi yang menggambarkan tindakbalas manusia terhadap persekitaran. Sekiranya fitrah manusia tidak dicemari nafsu dan hasutan syaitan, sudah pasti kasih sayang bertakhta di sanubari setiap insan. Namun, apakan daya bagi mereka yang tewas dalam pertarungan melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan.


Masakan kita tidak gusar dan bimbang akan kadar penceraian yang mencapai angka 13,465 orang pada tahun 2005, 32808 orang penagih dadah pada tahun 2005, 108 kes penderaan kanak-kanak dan 1561 kes rogol setakat Jun 2006 lalu, 1.... kes buang bayi pada tahun 2006 serta 7201 kes kesalahan juvana pada tahun 2005. Kes-kes seperti pelacuran, seks luar nikah, pengguguran anak, rempit, melepak dan minum arak juga tidak kurang hebatnya pada masa kini. Di kalangan remaja ini amat jelas bahawa sifat malu umpama sudah tidak ada lagi dalam diri. Sedangkan di dalam agama islam sendiri, malu itu sebahagian daripada iman.


Di manakah silapnya kita? Tepuk dada tanya hati kecil kita sendiri. Bagi ibubapa, cukupkah ilmu agama yang diajarkan kepada anak-anak, kukuhkah kasih sayang yang dicurahkan kepada ahli keluarga, halalkah sumber dan zat rezeki yang diberikan serta bagaimanakah keadaan diri anda sebagai pemimpin kepada ahli keluarga?

“Oh ayah, oh ibu,

Dengarlah rintihan dan luahan hatiku

Yang dahagakan kasih

Jiwaku merasa tersiksa ketandusan kasihmu,

Marilah kita bina bersama-sama keluarga bahagia”.


Menyalahkan pelbagai pihak sememangnya mudah. Menunding jari ke pelbagai arah juga telah menjadi tradisi amarah. Namun, selesaikah masalah dengan tindakan sebegitu? Pepatah ada mengatakan “guru pertama adalah ibu bapa”, “bapa borek anak rintik” serta hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “anak yang dilahirkan itu putih, suci dan bersih, ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadi majusi, yahudi dan nasrani”. Lihatlah, segalanya bermula dari sebuah rumah, melalui didikan, asuhan dan bimbingan ibu bapa. Kasih sayang, perhatian dan ketegasan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mampu melahirkan anak yang mempunyai jatidiri unggul lantas berupaya menepis mehnah yang datang daripada persekitran.


Tidak dapat dinafikan lagi, keutuhan institusi kekeluargaan menjadi faktor utama kepada kestabilan sosial sesebuah masyarakat dan negara. Sebuah keluarga yang bahagia mampu melahirkan generasi yang sejahtera dari pelbagai sudut merangkumi aspek fizikal, mental, emosi, rohani serta sosial. Insan yang seimbang ini merupakan modal insan yang berupaya memberikan sumbangan kepada bangsa, agama dan negara. Maka, terbentuklah modal sosial dalam sesebuah masyarakat, institusi mahupun organisasi sekaligus dapat melonjakkan imej negara ke persada terbilang.

Namun, segalanya tidak bermakna seandainya konsep kasih sayang dan didikan yang sempurna tidak diharmonikan dalam sesebuah keluarga. Justeru, ibu bapa usahlah terlalu bersikap terbuka membiarkan pengaruh negatif globalisasi menguasi anak-anak mahupun menyekat terus kebebasan anak-anak sehingga tiada langsung keterbukaan dalam keluarga. Justeru, amat bersesuaian sekali ungkapan kata-kata hikmah oleh Dr H.M Tuah Iskandar iaitu “Rasa kasih, sayang dan cinta bukan satu perjudian untuk menentukan menang atau kalah tapi ia adalah ikatan hati yang menentukan nilai satu perhubungan, kesetiaan dan ketulusan”.

Justeru, kepada ibu bapa, beringatlah kerana anak-anak itu adalah amanah Allah kepada kalian. Bagi para suami pula mengertilah bahawa isterimu juga amanah untukmu. Jadikan setiap hari yang anda lalui umpama meniti jambatan kasih yang dihiasi cinta dan kemesraan. Hiduplah seperti mentari yang bersinar menerangi maya bukannya umpama duri yang mencucuk diri dan menyakiti orang lain. Dalam apa jua keadaan letakkan panggilan dan seruan Illahi itu pada tempat yang paling utama. Jadilah hambaNya yang bersyukur. Itulah sekukuh-kukuh pergantungan.


Menurut Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud, “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”


Demi survival bangsa dan agama, suburkanlah nilai-nilai murni dalam diri anak-anak kita dan jadilah contoh tauladan terbaik buat mereka. Didik dan bimbing mereka mendaki ke puncak syahadah, menjadi insan yang berbakti dan berjasa kepada masyarakat kerana kelak akhir hidup kita akan beroleh ketenangan, pergi menghadap Illahi dalam husnul Khatimah. Sesungguhnya, mati itu benar, sakaratul maut itu benar, syurga dan neraka juga benar, balasan terhadap dosa dan pahala juga benar. Janganlah menjadi insan yang lupa diri dan terlalu takbur dengan nimat milik Allah. Daripada Nya kita datang, kepada Nya jua kita kembali.


Hidup ini terlalu singkat. Usah dihabiskan dengan sengsara dan kesusahan. Isilah dengan SAKINAH, MAWADDAH dan RAHMAH. Tanpa kerjasama semua pihak, tidak mungkin lahir generasi berwawasan dan bertakwa yang mampu mendukung visi bangsa, agama dan negara. Marilah bersama-sama kita bersatu membina ummah terbilang melalui pengukuhan institusi kekeluargaan. Semoga kita akan terus meneguk kemanisan hidup biarpun jutaan mehnah yang melanda kerana kita berpegang pada taliNya.


“Bahagia itu dari dalam diri, terpendam bagai permata di dasar hati,

Bahagia itu ada pada hati, terpendam bagai mutiara di lautan nurani,

Bahagia itu ada di jjwa, mahkota di singgahsana rasa,

Bahagia itu adalah ketenangan.”

Sesungguhnya bahagia itu semakin hampir andai kita semakin dekat dengan Pencipta. Semoga kebahagiaan yang terpancar daripada ibu bapa akan membiaskan sinar bahagia buat seisi keluarga, lantas menjana masyarakat yang sejahtera dan negara yang terbilang dan berdaya upaya. Salam kebahagiaan buat semua!

sumber : Yayasan pembangunan Keluarga Darul Ta'zim

Wednesday, June 18, 2008

Kekuasaan Allah

Allah pemilik kekuasaan pemerintahan, memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki, mencabutnya daripada sesiapa yang di kehendaki-Nya. Allah memuliakan dan menghina sesiapa yang dikehendaki.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.(AliImran: 26)

Monday, May 5, 2008

Pedoman Al-Quran ~Doa orang beriman

Undergoing MyBlogLog Verification
Do'a orang beriman, elok diamalkan:
(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya. "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau-lah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya. (AliImran: 8-9)

terima kasih
Dr.Omar Yaacob
UTM, Skudai
Baling net

Pedoman Al-Quran ~Balasan Syurga

Dunia memang indah dan mengasyikkan, secara tabi'i manusia sukakannya.Namun, balasan syurga yang di sisi Allah jualah yang lebih baik untuk kita:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya
(Ali-Imran :14-15)

Terima kasih
Dr. Omar Yaacob
UTM Skudai
Baling Net

Sunday, March 30, 2008

Urusan Hutang

Jika menjalankan urusan yang melibatkan hutang piutang, tuliskan perjanjian hutang!!
(Nota: Ini ialah ayat terpanjang di dalam al-Quran)

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar) dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, samada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya dan adakanlah saksi apabila kamu berjual beli dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (alBaqarah: 282)
Terima kasih : Baling Net
Dr. Omar Yaacob
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
UTM Skudai, Johor