Sumber : Berita Harian
IBADAT solat fardu lima waktu, adalah satu kefarduan Allah ke atas umat Islam yang istimewa, begitu berharga, wajib diambil perhatian berat untuk pelaksanaannya dan tidak boleh sama sekali diambil ringan, apa lagi diabaikan. Allah mengundang kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW hadir kehadrat-Nya untuk menerima kefarduan itu. Perintah mendirikan solat tidak dikirim melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril seperti perintah yang lain. Di dunia ini, selepas perintah beriman, solat adalah perintah amalan yang pertama diwajibkan sementara di akhirat nanti, solat adalah amalan pertama yang akan diperiksa, disoal dan dinilai.
Menunai kewajipan solat fardu yang lima ini menghasilkan banyak manfaat dan pahala yang besar. Mengabaikan perintah solat menjadikan seseorang itu mendapat kerugian yang tiada taranya. Hadis dikeluarkan Imam Ahmad dan Imam Ibn Hibban daripada Naufal bin Muawiyah yang bermaksud: "Kerugian orang yang luput daripada mengerjakan solat fardu seumpama orang yang kehilangan semua ahli keluarganya dan semua harta benda/kekayaannya." Solat fardu hendaklah didirikan dalam sebarang keadaan dan masa apabila sampai waktunya sama ada kita berada dalam keadaan senang atau susah, muda atau tua, sihat atau sakit, aman atau peperangan dan bermukim (duduk tinggal di satu-satu tempat secara tetap) atau musafir.
Menunai kewajipan solat fardu yang lima ini menghasilkan banyak manfaat dan pahala yang besar. Mengabaikan perintah solat menjadikan seseorang itu mendapat kerugian yang tiada taranya. Hadis dikeluarkan Imam Ahmad dan Imam Ibn Hibban daripada Naufal bin Muawiyah yang bermaksud: "Kerugian orang yang luput daripada mengerjakan solat fardu seumpama orang yang kehilangan semua ahli keluarganya dan semua harta benda/kekayaannya." Solat fardu hendaklah didirikan dalam sebarang keadaan dan masa apabila sampai waktunya sama ada kita berada dalam keadaan senang atau susah, muda atau tua, sihat atau sakit, aman atau peperangan dan bermukim (duduk tinggal di satu-satu tempat secara tetap) atau musafir.
Dari segi tempat pula, solat fardu wajib didirikan di semua tempat, di daratan, lautan mahu pun udara. Hanya tiga kategori orang Islam mendapat pelepasan daripada kefarduan ini iaitu kanak-kanak, perempuan di dalam tempoh haid atau nifas dan orang gila. Maknanya, jika ada sesiapa yang ingin mengecualikan diri daripada menunaikan kewajipan solat, pastikan dirinya berada dalam antara kategori berkenaan. Jika tidak, hendaklah dia mendirikan solat pada waktunya. Jemaah haji akan berada dalam pelbagai keadaan yang boleh jadi sebahagiannya menyukarkan mereka mendirikan solat seperti ketika berada dalam kapal terbang, bas untuk perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah dan ke Mina serta ketika kesibukan pergerakan di Tanah Suci. Ketika dalam kapal terbang atau bas, keadaan menjadi sukar untuk mendirikan solat dari segi kemudahan ruang tempat dan air untuk bersuci, sedangkan waktu solat datang dan akan berlalu pada masa jemaah haji berada dalam penerbangan atau kenderaan itu.
Berikut ialah panduan berkaitan solat dalam perjalanan dengan memberi tumpuan kepada solat dalam kenderaan dan solat menghormati waktu.
· Solat dalam kenderaan Ketika dalam penerbangan atau kenderaan, solat hendaklah didirikan dengan berdiri betul, sekiranya berupaya dan ada tempat bersesuaian. Jika tidak berupaya dengan sebab uzur atau kerumitan kerana tiada ruang bersesuaian, solat hendaklah didirikan dengan duduk tahiyat awal atau tahiyat akhir. Jika tidak berkuasa sedemikian, hendaklah duduk dengan apa cara duduk yang boleh, sekalipun dengan duduk di kusyen tempat duduk penumpang. Ketika berniat dan bertakbiratul ihram, hendaklah mengadap kiblat. Selepas itu teruskan solat dalam keadaan berdiri atau duduk yang dapat dilakukan dalam kenderaan atau kapal terbang itu. Jika tidak boleh, seperti dalam keadaan wajib memakai tali pinggang keselamatan, maka berniat dan bertakbirlah mengikut arah mana yang seseorang itu sedang duduk. Dalam keadaan duduk, rukuk dilakukan dengan menurunkan anggota mulai kepala hingga pinggang, separuh daripada keadaan sujud, Sementara dua tapak tangan di atas bahagian lutut. Sujud dilakukan seperti biasa, jika boleh. Jika sujud tidak dapat dilakukan seperti biasa kerana tidak boleh bergerak daripada tempat duduk atau tiada ruang yang membolehkan sujud, maka turunkan anggota kepala hingga ke pinggang ke arah lantai di paras maksimum yang boleh, sementara dua tapak tangan diletakkan di mana-mana tempat yang boleh. Dalam keadaan kepala tidak dapat digerakkan, maka untuk rukuk, pejamkan mata pada kadar separuh pejam dan untuk sujud, pejamkan mata sepenuhnya. Duduk tahiyat sama ada awal atau akhir, hendaklah duduk dengan apa cara yang boleh. Maknanya, solat wajib dikerjakan.
· Faaqid At Tahurain (Solat dalam keadaan tanpa dua suci) Tidak sah solat melainkan dalam keadaan suci daripada najis, hadas kecil dan hadas besar. Bersuci daripada najis, hendaklah mengikut cara bagaimana membersihkan najis, sama ada mughallazah, mutawasitah atau mukhaffafah. Bersuci daripada hadas kecil dengan berwuduk dan bersuci daripada hadas besar dengan mandi wajib. Jika seseorang itu ingin mendirikan solat, tetapi tidak ada air untuk bersuci atau ia keuzuran untuk menggunakan air, maka hendaklah ia bertayamum. Jika tidak ada debu tanah untuk tayamum kerana berada dalam kapal terbang, maka hendaklah dirikan solat apabila masuk waktunya dalam keadaan tanpa dua suci iaitu solat tanpa bersuci dengan air dan tanpa tayamum. Solat itu kerana menghormati waktu iaitu membesarkan Allah dalam waktunya. Solat yang dikerjakan dalam keadaan tanpa dua suci ini, wajib dikerjakan semula apabila tiba ke destinasi dan mendapati air untuk bersuci di sana. Ini jika waktu solat masih ada dan jika sebaliknya, solat itu hendaklah diqada.